Saturday, March 28, 2015

Ulasan Buku: Mitos Peribumi Malas oleh Syed Hussein Alatas

Teruja melihat tajuk karya monumental Syed Hussein Alatas ini membuatkan saya menyahut cabaran rakan-rakan untuk membedah karya setebal hampir 300 muka surat ini. Perasaan yang bermain dalam fikiran saya sebelum membaca buku ini ialah rasa lemah bergelar seorang Melayu di bumi bersejarah yang sentiasa mekar dengan semangat perkauman.

Namun, membaca dan meneliti serta menanggapi karya agung tulisan sarjana terkemuka seperti Syed Hussein Alatas membuatkan seolah-olah saya terpujuk dan buku ini membuatkan seolah-olah saya sedang berdialog dengan sang penulis walau Syed Hussein sudah kembali ke rahmatullah sedari 8 tahun lalu pada usia beliau 78 tahun.

Saya akui sedikit terkilan kerana menangguhkan pembacaan ini sehingga tidak berkesempatan menemui sang oksidentalis ini dan bertanya lebih lanjut huraian yang dimaksudkan beliau. Kupasan ini sebenarnya lebih kepada pemahaman saya selaku pembaca kerdil karya magnum opus Syed Hussien yang setanding dengan karya mendiang Edward Said, sarjana Palestin iaitu “The Orientalism”.

Lantaran ilmu yang terbatas untuk mentafsir setiap kosa kata akademik yang tinggi dalam makalah ini maka pemahaman saya juga dikira sangat terbatas. Penulisan yang mengambil masa yang panjang untuk disiapkan iaitu hampir 7 tahun akhirnya berjaya diterbitkan pada tahun 1977 dalam edisi bahasa Inggeris yang mengguna pakai tajuk “The Myth of Lazy Native”.

Karya ini sememangnya sebuah penulisan ilmiah dalam bidang sosiologi pada asalnya sebelum diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh Ahmad Rofie pada tahun 1987 dan diubah suai ke bahasa Malaysia oleh DBP hasil suntingan Zainab Kassim 2 tahun selepas Ahmad Rofie.

Syed Hussien yang merupakan pengkaji wacana oksidentalisme iaitu memahami Barat dengan menguasai ilmu-ilmu mereka serta mencabar kesarjanaan sedia ada telah membuktikan perkara tersebut dengan makalah ini menerusi penulisan yang mengguna pakai pendekatan sosiologi pengetahuan untuk mengkaji citra kolonial dan fungsinya dalam penyebaran mitos yang telah dijadikan sistem anutan penulis-penulis Barat dalam menanggapi masyarakat peribumi terutamanya Melayu.

Terdapat juga pendapat yang bersetuju bahawa buku ini adalah satu ‘counter argument’ kepada buku karangan Stamford Raffles yang bertajuk ‘The Lazy Native’. Beralih kepada persoalan pokok tujuan buku ini, Syed Hussein menulis bahawa wujudnya keperluan suatu usaha untuk membetuli pandangan kolonial yang bias tentang masyarakat peribumi Asia yang merangkumi penduduk di Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Syed Hussein juga berpendapat sudah tiba masanya suatu hasil penulisan yang cermat yang mengandungi hujah yang komprehensif bukannya bersifat dangkal untuk menanggalkan semua stereotaip yang dilempar ke atas kaum peribumi yang lemah ketika itu. Kelemahan ini telah diperluaskan lagi oleh ideologi kolonial untuk menutup moral dan peradaban yang dicapai sebelumnya. Sementelah juga untuk menjengah ke dalam aspek negatif kolonial yang terpalit jelas pada imej pemerintahan mereka semasa era penjajahan berlaku.

Dalam buku ini, penulis membina beberapa konsep sosiologi untuk mendefinisikan fenomena yang berlaku ketika itu. Mengungkap doktrin yang berkembang luas dalam kalangan peribumi, maka Syed Hussein telah membawa konsep ideologi kolonial. Konsep kolonial kapitalisme dibentuk untuk menjelaskan beza antara kapitalisme Barat dengan kapitalisme yang dibawa masuk oleh kolonialis yang telah membawa perubahan yang banyak sekali dalam struktur peribumi dari aspek monopoli dan dominasi ke atas penduduk peribumi.

Selain itu, konsep ‘captive mind’ atau minda tertawan juga diperkenalkan yang merujuk kepada sikap kaum elit Melayu pada masa tersebut yang terasimilasi dengan budaya dan cara pemikiran yang dibentuk Barat sehingga melupakan aspirasi kaum masyarakat serta konsep ‘malas’ yang diberi makna yang sederhana yang sesuai dengan maksud pandangan emik (native’s viewpoint) masyarakat tempatan.

Syed Hussein banyak sekali mengkritik perubahan negatif yang dibawa masuk oleh penjajah antaranya telah mengubah tata feudal kepada nada yang kurang sifat perkauman namun telah meninggikan status sosial kaum penjajah kulit putih yang mana telah membentuk satu penyusunan stratifikasi sosial atau kasta sosial dalam masyarakat yang harmoni sebelum daripada itu.

Ini bertentangan dengan kolonial yang berlaku di Eropah di mana kekuatan feudalisme rosak sama sekali dan menjadikan masyakat di sana lebih bersifat ‘laissez faire’ dalam sistem pemerintahan, ekonomi dan undang-undang. Hasilnya, sifat masyarakat Asia Tenggara yang relatif statik (ekonomi, pendidikan dll.) adalah akibat penjajahan Barat telah meratah sifat perbauran yang wujud sebelumnya hasil interaksi antara agama dan kebudayaan yang diterima orang Asia sebelum pada itu sehingga mewujudkan interaksi antarabangsa (Arab, Cina, India, Parsi dll.) di luar lingkungan hubungan kolonial.

Istilah malas atau dalam definisi oleh Jose Rizal iaitu little love for work and lack of activity yang menjadi topik utama dibahaskan dengan panjang lebar oleh penulis. Masyarakat Melayu yang digelar ‘fatalis’ iaitu berserah pada takdir tanpa mahu berusaha serta secara keliru telah mendakwa pemikiran atau unjuran Islam yang membentuk pemikiran ‘rezeki secupak tidak boleh segantang’.

Beliau merangkumkan bahawa malas yang didakwa ke atas masyarakat peribumi itu sebenarnya tidak sah untuk digeneralisasikan ke atas semua secara borong hingga mengundang rasa skeptis dan stereotaip yang menjadi penghalang hubungan harmoni antara kaum sehingga kini. Hakikatnya, malas yang dilemparkan ke atas masyarakat peribumi adalah kerana penolakan untuk bekerja sebagai buruh di ladang hingga Barat terpaksa mengimport imigran Cina dari Tanah Besar dan imigran India dari sana untuk menjadi buruh kasar Barat.

Tuduhan ini sama sekali tidak berasas dan puncanya juga kabur, adakah penolakan untuk bekerja di bawah penjajah kerana sudah terbiasa bekerja sendiri menjadi nelayan, petani, pemilik tanah yang meski sempit namun bebas dikira malas? Dan sikap serakah terhadap wang yang sama sekali tidak terdapat dalam kalangan peribumi juga dianggap pemalas? Sedangkan penolakan itu tujuannya ialah kerana tidak mahu diperalati untuk memperkayakan kolonialis di samping ketekunan atau kerajinan itu disamakan dengan keserakahan, maka peribumi perlu tunduk?

Syed Hussein mendapati amat sulit untuk menggelar peribumi sebagai malas disebabkan keengganan sama sekali bukan malas serta ditambah dengan faktor kedudukan dalam politik, ekonomi dan pentadbiran kolonial telah menghalang berlakunya mobiliti peribumi. Buku yang mempunyai 12 bab membincangkan satu persatu hujah-hujah kajian yang sama sekali tidak sesuai dengan analisisnya.

Pengkaji-pengkaji yang menulis sejarah serta citra masyarakat ketika itu bersikap etnosentrik iaitu pandangan yang melihat cara diri sendiri itu adalah betul dan baik daripada masyarakat atau kelompok sosial yang dikaji. Di samping pandangan yang tidak berdasarkan oleh kajian lapangan yang hanya mengutip nota-nota pelawat ke negara ini seperti yang ditulis oleh Karl Marx dan Engels dalam buku On Colonialism serta ditambah dengan kritikan terhadap agama Islam dan Al-Quran sebagai agama palsu tanpa beri penjelasan.

Kesemua ini telah membawa kepada berjayanya strerotaip yang negatif yang telah merosotkan cara pandang antara sesama masyarakat seperti; orang Melayu = malas; orang Cina = mudah disogok; orang India = penakut dan suka bercakap berbelit-belit. Konotasi negatif ini melingkari pengalaman seharian kita dan telah disosialisasikan dan diasosiasikan dalam masyarakat hingga timbul pelbagai masalah perkauman hasil dari konotasi negatif generalisasi ini.

Meskipun begitu, Syed Hussein tidak menolak ada unsur kebenaran di dalamnya namun tidak mewakili seluruh gambaran masyarakat hatta kebanyakannya adalah refleksi sikap golongan elit dan kolonialis itu sendiri. Kritikan Syed Hussein ini adalah menjurus kepada salah anggap penulis kolonial yang memahami bahawa kolonialisme merupakan alat perubahan masyarakat walhal tanpa menafikan manfaat yang dibawa, kolonialisme sebenarnya telah merintangi perubahan sosial kerana telah mempertahan unsur-unsur feudal dalam masyarakat tradisional kepada tata feudal yang sesuai dengan tujuan mereka terutamanya dalam hal-hal politik.

Dalam bab-bab terakhir buku ini, Syed Hussein mengkritik golongan kelas menengah yang menjadi pemimpin masyarakat ketika itu yang sama sekali menunjukkan sikap ‘captive mind’ apabila sewenangnya mengkritik dan menganalisis masyarakat dengan paradigma kapitalis kolonial apabila menyalahkan masyarakat Melayu yang mundur ketika itu sedangkan mereka sendiri melupakan tanggungjawab sebagai ‘kerajaan’ yang sepatutnya berusaha sehabis baik membantu masyarakat.

Buku ini seharusnya tidak menjadikan kita berpaling ke belakang dan mengidamkan semangat zaman dahulu muncul di depan mata, tetapi sebagai ilmu untuk meluaskan dataran horizon pemikiran agar dapat berusaha memperbaiki faham kita terhadap sejarah lama antara mitos dan fakta. Justeru, pandangan sejarah kita haruslah di transisi agar sejajar dengan ketamadunan lama lewat sekarang ini di mana sejarah dianggap sangat tawar oleh masyarakat kini.

Walhal tanpa memahami sejarah dan mengambil ibrah, kita tak akan sama sekali mampu untuk berubah.

Disediakan oleh:
  1. Aisyah Jaafar (Calon PhD - Sosiologi)

No comments:

Post a Comment